Friday, January 23, 2015

Mangsa Banjir Di Sabah Terus Meningkat

Jumlah mangsa banjir di Sabah tengah hari ini meningkat kepada 1,131 orang berbanding 976 orang manakala Sarawak mencatat penurunan kepada 6,350 orang berbanding 8,218 orang.

Bagi Kelantan dan Perak, jumlah mangsa kekal seperti pagi tadi iaitu masing-masing 255 dan 78 orang.


Mangsa Banjir Di Sabah Terus Meningkat, info, terkini, berita banjir, sabah,
BEAUFORT: Semenjak banjir mulai melanda pekan kecil Beaufort sejak , penduduk setempat menggunakan perahu dan sampan sebagai pengangkutan utama mereka di sekitar pekan berkenaan sejak semalam. - Foto BERNAMA

Di SABAH, Pengawai Daerah Beaufort Shahid Othman berkata setakat ini, 518 orang daripada 182 keluarga berada di pusat pemindahan banjir di daerah berkenaan.

Penolong Pegawai Daerah Membakut Sainudin Ismail pula berkata jumlah mangsa banjir di daerah kecil Membakut ialah 319 orang daripada 107 keluarga manakala jurucakap Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menyatakan jumlah mangsa banjir di Tenom ialah 262 orang daripada 75 keluarga.

Menurut JPAM jumlah mangsa banjir di Sipitang ialah 32 orang daripada tiga keluarga.

Walaupun bacaan paras air Sungai Padas semakin menurun di Beaufort iaitu 9.41 meter dan 177.75 meter di Tenom, ia masih di atas paras bahaya.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir berkurangan di Kuching dengan mangsa yang dipindahkan berjumlah 3,396 orang berbanding 4,817 orang pagi tadi.

Selain itu, empat lagi pusat pemindahan ditutup menjadikan sebanyak 22 pusat masih dibuka di Kuching.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak berkata bahagian Samarahan turut menunjukkan penurunan mangsa daripada 2,079 orang pagi tadi kepada 1,598 orang pada tengah hari dengan jumlah pusat pemindahan kekal sebanyak 13 buah.

Bagaimanapun, bahagian Mukah menyaksikan satu lagi pusat pemindahan dibuka menjadikan jumlah mangsa yang dipindahkan ke dua pusat pemindahan di bahagian itu meningkat daripada 78 kepada 112.

Di Limbang pula, jumlah mangsa masih 1,244 orang sama seperti pagi tadi.

Beliau berkata sehingga kini, sebanyak 32 sekolah di seluruh Sarawak masih ditutup manakala 44 buah lagi sedang dipantau setelah kawasan sekitarnya sudah digenangi air.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir kekal 78 orang daripada 19 keluarga iaitu 44 orang di Perak Tengah dan 34 orang di Hulu Perak, kata jurucakap MKN Perak.

Di KELANTAN, bilangan mangsa banjir juga kekal 255 orang daripada 62 keluarga di lapan pusat pemindahan di Kuala Krai.

Jurucakap MKN Kelantan berkata sehingga 8 pagi tadi, kesemua mangsa masih ditempatkan di dewan sekolah, kilang dan masjid ekoran rumah mereka hanyut atau rosak teruk akibat banjir yang berlaku bulan lepas.

Keadaan cuaca juga dilaporkan cerah di negeri itu. – BERNAMA